Mesomorph, Ectomorph dan Endomorph

  1. Pengenalan

Terdapat pelbagai bentuk tubuh manusia, namun begitu ia boleh dikategorikan kepada tiga kategori iaitu jenis  badan mesomorph, ectomorph, atau endomorph. Jenis badan ini mempunyai ciri-ciri  yang  berbeza  dan  individu yang berkaitan harus menyesuaikan senaman kepada mana-mana mereka tergolong dalam kumpulan jenis badan yang disebutkan tadi.

William H. Sheldon, seorang ahli psikologi Amerika syarikat (1898 – 1977) telah mengeluarkan satu teori pada tahun 40an iaitu mengenai teori somatotypes. Teori beliau telah mengubah persepsi masyarakat dunia terhadap rupa tubuh badan manusia. Teori somatotypes menyatakan bahawa secara umumnya, manusia terbahagi kepada tiga kategori rupa fizikal dan dikelaskan mengikut tiga jenis lapisan tisu iaitu endoderm, mesoderm dan ectoderm. Ketiga-tiga istilah tersebut telah membentuk istilah ectomorph, endomorph dan mesomorph.

Image

     Gambar 1 : ectomorph, mesomorph dan endomorph

2.      Ectomorph

Ectomorph adalah golongan yang mempunyai bentuk tubuh yang kurus. Mereka biasanya digambarkan sebagai kekurangan berat badan, kurus dan tinggi berbanding dengan dua kategori yang lain. Lebar bahu mereka adalah sama seperti paha mereka. Rusuk mereka dapat dilihat dan halus. Atas lengan dan paha mereka adalah lemah sementara jari kaki mereka lebar dan panjang. Ciri wajah mereka adalah tajam dan muka adalah seperti berbentuk segi tiga. Kulit mereka kering dan cenderung untuk terbakar atau mengelupas pada cuaca panas.

Golongan ectomorph dikatakan tidak mempunyai kekuatan atau daya tahan fizikal. Golongan ectomorph disifatkan sebagai lebih sensitif, suka pada seni, berkeyakinan pada diri sendiri serta menyukai alam sekitar. Berat badan golongan ectomorph adalah rendah kerana mereka memiliki lemak dan jisim otot yang rendah. Skor BMI mereka juga adalah sangat rendah.

Faktor-faktor yang menghalang pertambahan berat badan yang normal dan pembentukan otot bagi golongan ini adalah berkaitan dengan selera makan dan metabolism. Golongan ectomorph sangat kurus kerana mereka dilahirkan dengan metabolism yang sangat tinggi. Mereka boleh makan apa sahaja yang mereka mahu pada bila-bila masa tanpa berasa takut untuk mengalami kegemukan atau berat badan berlebihan. Metabolism yang tinggi dan faktor genetik membuatkan golongan ini amat sukar untuk menambah berat badan atau membina otot-otot mereka.

Pertumbuhan otot baru merupakan satu cabaran yang selalunya mengecewakan untuk golongan ectomorph dan pertambahan berat badan adalah sukar untuk dicapai. Pelari marathon, atlet lompat tinggi dan lompat kijang biasanya tergolong dalam kategori ini.

Golongan ectomorph perlu meningkatkan bilangan kalori dalam diet mereka dan patut makan lebih kerap iaitu dalam lingkungan 2-3 jam jika ingin menambah berat badan mereka. Mereka juga perlu mengambil peratusan protein dan kabohidrat yang tinggi dalam diet mereka. Golongan ini juga berlu bersenam dengan lebih kuat dan perlu berehat di antara waktu senaman tersebut. Pemulihan adalah sangat penting dalam pertumbuhan badan golongan ectomorph. Vitamin dan nutrisi daripada makan juga perlu ada dalam diet mereka setiap hari.

2.1. Ciri –ciri ectomorph :

  • Memiliki peratusan lemak badan yang sangat rendah.
  • Mempunyai kadar metabolisme yang sangat tinggi.
  • Fizikal yang kurus.
  • Kekal langsing dengan mudah.
  • Mempunyai pinggang, pinggul dan bahu yang sempit.
  • Otot yang kurang, rendah berat badan tanpa lemak
  • Kurang menarik bentuk badannya.

Gambar 2 : Contoh bentuk badan golongan ectomorph

Image

3.      Endomorph

Endomorph adalah kumpulan individu yang mempunya bentuk badan yang besar dan montel dengan sistem pencernaan yang lebih perlahan. Individu yang  tergolong dalam kategori ini  biasanya  mempunyai berat badan berlebihan. Dari perspektif personaliti, golongan endomorph dilihat lebih suka melakukan hal-hal mereka sendirian, bertoleransi serta selesa dengan  rutin dan  tabiat mereka.  Mereka  memang golongan yang suka pada makan dan tidak hairanlah jika kecenderungan golongan ini untuk menjadi obsesiti adalah sangat tinggi. Aktiviti makan untuk bersosial adalah satu pendorong utama golongan ini ke arah obesiti.  

Golongan endomorph juga mempunyai jenis badan yang cenderung untuk mengumpul lemak
ke kawasan bawah badan, terutamanya ke bahagian abdomen, paha dan pinggul. Lemak biasanya tidak diagihkan secara sama rata di seluruh badan. 

Golongan lelaki endomorph mempunyai kecenderungan corak pengagihan lemak yang berbeza berbanding golongan wanita endomorph. Bagi golongan wanita endomorph, lemak dikumpul di lengan, paha, pinggul dan abdomen. Lelaki endomorph pula, lemak dikumpulkan di dalam abdomen mereka. Menurut kajian, lemak yang disimpan di kawasan abdomen berbahaya berbanding lemak di punggung dan kawasan kaki. Ini adalah disebabkan oleh risiko penyakit jantung dan meningkatkan risiko kanser, tekanan darah dan kencing manis. Ahli Sumo biasanya tergolong dalam golongan ini.

3.1. Ciri-ciri endomorph :

  • Penampilan fizikal mereka biasanya agak montel dan lembut serta lemak badan mereka sangat kelihatan di seluruh badan.
  • Nampak besar dengan jumlah lemak badan yang berlebihan terutama di sekitar pinggang, punggung dan paha.
  • mempunyai sendi besar dan struktur tulang yang besar.
  • Tembam atau montel, berbentuk telur atau bulat, sering digunakan untuk menghurai atau menggambarkan jenis badan golongan ini
  • Jika golongan ini mendapat keputusan tidak seperti yang diharapkan, ia akan membawa kepada kekecewaan dan kehampaan dalam diri mereka.
  • Bersifat memuaskan nafsu makan dan mengambil kalori tambahan yang tidak perlu.
  • Berat berlebihan dan terdedah kepada obesiti dan bermasalah untuk menjaga berat badan.
  • Sukar mengurangkan berat badan dan membuang lemak.
  • Mengambil masa yang panjang untuk mendapatkan hasil dan kejayaan yang berterusan dalam bidang kesejahteraan hidup, kesihatan dan kecergasan secara keseluruhannya.

Image

Gambar 3 : Contoh bentuk badan golongan endomorph

4.      Mesomorph

Golongan mesomorph adalah kelompok yang biasa dikaitkan dengan sukan  dan  olahraga. Golongan ini mempunyai lebih banyak otot dan biasanya mengamalkan gaya hidup sihat. Dari segi fizikal, golongan ini mempunyai bahu luas, tubuh yang kelihatan sasa dan berotot. Golongan ini biasanya kelihatan cergas dan bertenaga.

Dicirikan sebagai biasa bersosial dan menonjol, sentiasa suka melakukan aktiviti luar yang berkait rapat dengan kecergasan. Golongan mesomorph juga digambarkan sebagai golongan yang kuat dan bersemangat. Mereka  mempunyai personaliti dinamik serta aktif dan amat kompetitif. Pemain bola sepak dan ahli bina badan biasanya tergolong ke dalam kategori ini.

Semua orang ingin mempunyai jenis badan mesomorph tetapi malangnya sangat sedikit individu mempunyai jenis badan ini. Golongan mesomorph mempunyai kelebihan dalam menurunkan berat badan dengan cepat dan mampu mendapat bentuk badan yang diinginkan dengan mudah. Golongan mesomorph dengan mudah boleh menyingkirkan lemak dengan melakukan satu atau dua latihan kardiovaskular dalam seminggu dan boleh mendapatkan keputusan yang baik berdasarkan aktiviti fizikal. Jika golongan mesomorph melakukan sesi senaman kardiovaskular secara teratur, golongan ini akan kehilangan lebih banyak lemak  berbanding golongan ectomorph dan  endomorph kerana jisim  otot mereka yang  lebih besar membantu membakar lebih banyak kalori dalam tubuh mereka.

Golongan mesomorph boleh membina otot badan dengan mudah. Mereka perlu mengikuti asas membina badan dan pemakanan yang sihat untuk mengekalkan fizikal yang wajar.

Bentuk badan wanita mesomorph adalah seperti jam pasir (hourglass) manakala bentuk badan lelaki mesomorph adalah lebih segi empat. Namun begitu, seorang mesomorph juga harus mengikuti diet yang ketat ketat dan program senaman untuk mengekalkan bentuk badan yang menarik.

4.1. Ciri-ciri jenis badan mesomorph:

  • Mempunyai postur yang baik dan menarik iaitu mempunyai fizikal yang tegap dan sasa.
  • Mempunyai kadar metabolism yang tinggi yang membolehkan mereka meikmati makanan kegemaran tanpa berasa takut untuk menjadi gemuk.
  • Mudah bagi mereka untuk mengekalkan berat badan yang ideal.
  • Penampilan mereka menarik, kelihatan sihat, bersemangat dan cergas.
  • Mereka mempunyai bahu yang luas dengan pinggang ramping.
  • Mengawal berat badan bukan masalah bagi golongan mesomorph.
  • Badan jenis ini mempunyai jumlah otot tanpa lemak yang sangat tinggi.
  • Badan yang berotot secara semulajadi.
  • Jenis badan mempunyai peratusan lemak badan yang rendah secara keseluruhannya.
    Image

    Gambar 4 : Contoh bentuk badan golongan mesomorph  

5. Penutup

Berdasarkan tiga jenis golongan tubuh manusia yang disebutkan di atas, nyatalah bahawa kita seharusnya harus bijak memilih aktiviti fizikal atau senaman yang bersesuaian dengan jenis bentuk tubuh kita. Memang aktiviti fizikal atau senaman sangat baik untuk tubuh kita menjadi sihat dan cergas namun fakta mengatakan bahawa tidak semua jenis aktiviti fizikal atau senaman sesuai berdasarkan jenis atau kondisi tubuh kita. Oleh itu, kita seharusnya merujuk dengan pakar-pakar aktiviti fizikal untuk menentukan apa jenis senaman atau aktiviti fizikal yang sesuai dengan kita.

6.      Rujukan

Idris Mohamad, Shamsudin Mohd Sharid dan Jamaludin Ahmad. (2001). Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah : Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Tahun 5. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dzulkifli bin Ismail, Jamaliyah binti Ahmad dan Aris Fazil bin Haji Ujang. (2010). Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah : Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Tahun 6. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pathmanathan A/L K. Suppiah. (2011). TD10103 Latihan dan Kecergasan : Modul Program Pensiswazahan Guru (PPG). Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah.

http://www.fitnesshealthzone.com/exercises/ectomorph-body-type/

http://www.fitnesshealthzone.com/exercises/endomorph-body-type/

http://www.fitnesshealthzone.com/exercises/mesomorph-body-type/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s